Tarikan pada bibir
KECANTIKAN bibir tidak seharusnya dipandang remeh kerana bibir merupakan aset penting yang menyerlahkan kecantikan wanita. Seorang wanita yang berdandan tidak lengkap dandanannya jika tidak memakai gincu. Warna yang pelbagai disapukan pada bibir mampu meningkatkan seri wajah menampakkan seseorang lebih berseri daripada biasa. Pensil bibir dicipta bagi mendapatkan ilusi bentuk bibir yang menawan. Kajian kosmetik menunjukkan seorang wanita pasti memiliki sekurang-kurangnya tiga jenis warna gincu. Ini menunjukkan bibir menjadi lambang kecantikan wanita. Namun ramai di kalangan kita yang kurang prihatin cara-cara meningkatkan kecantikan bibir.Faktor yang menjejaskan kecantikan bibir:
1) Pigmentasi pada bibir
Masalah ini disebabkan penggunaan kosmetik atau gincu yang memberi kesan alahan atau radang pada bibir. Pigmentasi juga sering di lihat pada mereka yang merokok. Begitu juga mereka yang sering berada di bawah sinaran matahari. Pigmentasi menyebabkan warna bibir tampak kusam dan tidak merah. Bibir juga kelihatan kehitaman dan terdapat tompokan pigmentasi. Sesetengah minuman bergas dan minuman keras juga boleh memberi kesan kehitaman pada bibir.
Bibir merupakan sel kulit yang mempunyai melanin. Kehadiran sel melanocytes yang banyak akibat stimulasi kimia dan solar menyebabkan bibir menjadi gelap.
Rawatan yang baik bagi masalah ini adalah menggunakan pelembap bibir yang mengandungi asid glycolic. Laser seperti Q switch (medlite) sesuai bagi menghapuskan pigmentasi sebegini. Apabila laser dipancarkan ia akan membuatkan melanin pada bibir pecah dan tidak berkumpul bertompok tompok. Ini memberikan warna bibir sekata yang membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik meskipun tanpa gincu.
2) Saiz bibir
Bibir menarik mempunyai saiz yang hampir sama bagi bibir atas dan bibir bawah. Masalah bibir bawah terlalu nipis membuat seseorang tampak seolah-olah terlalu serius kerana sukar baginya untuk mengukir senyuman. Senyuman diukir tidak jelas kelihatan menjadikan raut wajahnya masam. Bagi mereka yang mempunyai bibir atas yang kecil juga kelihatan lebih tua dari usia sebenar kerana bibir menutupi gigi dan gusi.
Apabila saya melakukan perubahan pada bentuk bibir, faktor utama yang saya titik beratkan adalah keseimbangan bibir atas dan bibir bawah. Bentuk bibir menjadi faktor kedua. Ini kerana bentuk bibir sahaja bukan penentu kecantikan bibir yang utama.
3) Bentuk bibir
Bagi kebanyakan kita bentuk bibir asal sudah memadai. Ia tidak perlu diubahsuai lagi. Namun ada juga yang mempunyai bentuk bibir yang tidak seimbang, iaitu sebelah kiri lebih besar dari kanan. Ini membuatkan bibir tampak senget apabila kita senyum. Bentuk sebegini boleh dibetulkan dengan mudah dengan adanya teknologi filler bagi bibir. Filler bibir diperbuat daripada jalinan asid hyaluronik yang pekat dan stabil. Penggunaannya mudah dan memberikan hasil yang cepat dan memuaskan. Cara ini membolehkan pengubahsuaian dibuat tanpa sebarang pembedahan.
Bagi mereka yang sudah menjalani pembedahan bibir (bagi membaiki bibir sumbing penggunaan filler juga dapat membantu keadaan bibir kelihatan lebih baik dan cantik. Malahan bibir yang disuntik filler tampak lebih gebu dan berisi).
4) Pengecutan bibir
Apabila usia menjangkau 30-an, bibir wanita mula mengalami pengecutan. Ini kerana bibir wanita dipengaruhi kehadiran hormon wanita. Apabila paras hormon menurun maka bibir juga mengecil. Kerana itulah wanita pertengahan usia rata-rata mempunyai bibir yang nipis dan kurang menarik. Penambahan filler boleh meningkatkan kecantikan bibir. Sayan juga mencadangkan penambahan hormone bioidentical yang mampu meningkatkan kualiti kolagen pada bibir secara semulajadi. Bibir kembali segar dan mulus dengan rawatan penambahan hormon.
5) Bibir bergaris
Bibir yang kelihatan bergaris juga tidak cantik dipandang. Apabila gincu disapu ia tidak nampak rata. Kita boleh mengatasi masalah ini dengan filler yang sesuai. Filler mampu meningkatkan kepadatan dalam bibir sekali gus mengurangkan kesan garisan mahupun kedutan pada bibir kita.
6) Dagu yang pendek
Faktor dagu yang pendek turut menjejaskan kecantikan bibir. Dagu yang terlalu pendek dan kecil membuatkan bibir tampak menguncup. Bibir bawah terutamanya tampak kecil apabila seseorang mempunyai dagu yang kecil. Saiz dagu boleh di tingkatkan dengan penggunaan filler dan bibir pasti tampak lebih baik.
7) Bulu halus di sekitar bibir (misai)
Bulu halus sekitar bibir turut mengganggu kecantikan bibir. Kehadiran bulu menyebabkan wajah kehilangan titik tumpu. Bibir yang sepatutnya mencuri tumpuan menjadi terganggu dengan bulu roma sebegini. Bagi menyingkirkan bulu roma kita boleh gunakan laser yang lembut seperti soprano. Soprano ialah diod laser yang memutihkan kulit sekali gus menghalang kemunculan bulu roma dari tumbuh semula dengan memusnahkan sehingga ke akar bulu roma tersebut.
8) Pigmentasi pada atas bibir
Keadaan ini turut dinamakan melasma yang terjadi mungkin akibat gangguan hormon. Sering berlaku kepada mereka yang hamil dan juga menggunakan ubat perancang keluarga
9) Kedutan sekitar mulut (smokers lines)
Kedutan sebegini kerap melanda terutama bagi mereka yang merokok. Ini sangat menjejaskan penampilan bibir. Teknologi terkini adalah dengan menggunakan BTA bagi melemahkan otot yang menghasilkan kedutan. Suntikan BTA boleh dibuat 6 hingga 8 bulan sekali bagi mendapatkan bibir yang cantik tanpa kedutan. Biasanya suntikan dibuat di sekeliling bibir dan kesannya dapat dilihat selepas beberapa hari.
10) Implan
Dewasa ini terdapat implan yang boleh digunakan pada bibir. Ia diperbuat dengan sejenis silikon atau pun plastik yang tidak toksik. Saiz implan boleh dipilih oleh penggunanya
Bagi suntikan jenis ini anda perlulah berjumpa doktor yang benar benar berpengalaman kerana suntikan yang di berikan perlu tepat dan tidak berbahaya kepada kesihatan.
Oleh kerana kita mempunyai bentuk muka dan warna kulit yang pelbagai maka kita tidak perlu meniru bentuk wajah dan muka orang lain untuk kelihatan yang cantik. Kecantikan sedia ada dapat ditingkatkan tanpa meniru wajah sesiapa dengan teknologi estetik yang moden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan